KAJANG – Dua kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pangsapuri di Jalan Reko di sini sejak Isnin, ditemui selamat pada pagi Selasa.
Kanak-kanak yang dikenali sebagai Husna dan Tulin itu ditemui dalam keadaan selamat di tangga yang menghala ke bumbung (rooftop) pangsapuri kediaman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kedua-dua kanak-kanak bukan warganegara itu ditemui oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, kira-kira jam 10 pagi.
“Kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut.
“Siasatan lanjut juga akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur pengabaian dalam kejadian ini,” katanya.

