Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia

14 May 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia
Suasana pilu menyelubungi kumpulan jemaah haji Malaysia di sini apabila dua jemaah daripada Kumpulan KT12 yang menginap di Hotel Al Kiswah di sini meninggal dunia.

MAKKAH – Suasana pilu menyelubungi kumpulan jemaah haji Malaysia di sini apabila dua jemaah daripada Kumpulan KT12 yang menginap di Hotel Al Kiswah di sini meninggal dunia.

Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan, jemaah pertama merupakan seorang wanita berusia 72 tahun berasal dari Sitiawan, Perak yang hadir ke Tanah Suci bersama sepupunya.

Menurut TH, Allahyarhamah disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Abdul Aziz pada 12 Mei lalu jam 12.36 tengah hari akibat pendarahan otak.

“Seorang lagi jemaah yang meninggal dunia ialah lelaki berusia 67 tahun berasal dari Kuantan, Pahang yang hadir bersama isterinya ke Tanah Suci.

“Allahyarham disahkan meninggal dunia di Makkah Medical Centre pada 13 Mei jam 10 malam akibat jangkitan kuman pada paru-paru,” menurut kenyataan TH pada Khamis.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua jenazah telah dibawa ke Masjidil Haram untuk disembahyangkan selepas selesai proses dokumentasi sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea di Makkah.

TH turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga kedua-dua Allahyarham.