Dua lelaki dicekup, terima upah RM50 bawa masuk RXZ seludup dari Thailand

10 May 2026 • 9:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki dicekup, terima upah RM50 bawa masuk RXZ seludup dari Thailand
Kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan ketika menunggang serta menunda dua motosikal Yamaha RXZ berwarna merah tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bulatan Jam Kampung Bendang Pak Yong kira-kira jam 1.30 pagi. - Foto:PGA

TUMPAT - Tindakan dua lelaki tempatan mengambil upah RM50 untuk membawa masuk motosikal Yamaha RXZ dipercayai diseludup dari Thailand membawa padah apabila mereka dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Bendang Pak Yong di sini pada Ahad.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu ditahan ketika menunggang serta menunda dua motosikal Yamaha RXZ berwarna merah tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan berhampiran Bulatan Jam Kampung Bendang Pak Yong kira-kira jam 1.30 pagi.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan dilakukan anggota Strike Force Sektor C Pengkalan Kubor, Kompeni A Batalion 7 PGA Kuantan menerusi Op Taring Wawasan dengan bantuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tumpat.

Menurut beliau, ketika rondaan bermotosikal dijalankan, anggota mengesan sebuah motosikal Yamaha RXZ menunda sebuah lagi motosikal jenis sama tanpa nombor pendaftaran.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek tidak menemui sebarang barangan salah, namun semakan pada nombor enjin motosikal mendapati kenderaan itu tidak didaftarkan di Malaysia dan dipercayai dibawa masuk dari Thailand secara tidak sah.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku mengambil motosikal terbabit yang dibawa masuk melalui sungai berhampiran pangkalan haram Poksu Roni di sini," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau memberitahu, kedua-dua suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM50 bagi kerja membawa motosikal berkenaan.

Ujar Ahmad Radzi, dua motosikal Yamaha RXZ berwarna merah yang dianggarkan bernilai RM10,000 dirampas untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kes diserahkan kepada JKDM Pengkalan Kubor dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.