Dua lelaki didakwa urus niaga, miliki diesel tanpa kebenaran

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki didakwa urus niaga, miliki diesel tanpa kebenaran
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan berkaitan urus niaga dan pemilikan bahan api diesel tanpa kebenaran, minggu lalu. Gambar ihsan KPDN
Image from: Dua lelaki didakwa urus niaga, miliki diesel tanpa kebenaran
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan berkaitan urus niaga dan pemilikan bahan api diesel tanpa kebenaran, minggu lalu. Gambar ihsan KPDN

SHAH ALAM – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas pertuduhan berkaitan urus niaga dan pemilikan bahan api diesel tanpa kebenaran, minggu lalu.

Pemilik syarikat pemborong bahan api berusia 58 tahun dan pemandu lori (28 tahun) selaku orang kena saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Nor Hasniah Ab Razak.

Mengikut pertuduhan pertama, pemilik syarikat itu sebagai pemegang lesen borong bahan api didakwa membeli barang kawalan diesel sebanyak 2,000 liter daripada pihak yang tidak mempunyai lesen atau kebenaran bertulis, di sebuah premis di Panasuria di sini jam 9.28 malam pada 24 April lalu.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa gagal menyelenggara buku stok bagi barang berjadual iaitu minyak diesel mengikut lesen yang diberikan.

Dia didakwa mengikut Peraturan 11 dan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, pemandu lori berkenaan didakwa ada dalam milikannya 4,000 liter diesel dalam sebuah lori tangki tanpa kebenaran sah di lokasi dan masa sama.

**media[3506956]**

Dia didakwa mengikut Peraturan 3(1) peraturan sama, dibaca bersama Seksyen 21 akta serupa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Abdul Razak Yahya.

Nor Hasniah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan melapor diri di Pejabat KPDN di sini sekali setiap bulan, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Sementara itu, dalam kenyataan, KPDN Selangor memaklumkan, tindakan pendakwaan itu merupakan hasil operasi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dalam usaha membanteras ketirisan bahan api dan memastikan pematuhan undang-undang.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku urus niaga boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui pelbagai saluran rasmi seperti WhatAspp 019-848 8000, aplikasi Ez Adu KPDN, talian hotline Kementerian 1-800-886-800 dan portal e-aduan.kpdn.