Dua lelaki ditahan bakar mercun secara terbuka di Sungai Petani

9 Apr 2024 • 6:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

ALOR SETAR: Polis menahan dua lelaki disyaki melakukan pembakaran mercun secara terbuka di tempat awam sehingga berlakunya letupan mercun dan bunga api secara besar-besaran di Dataran Zero berhampiran Bazar Aidilfitri Sungai Petani, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian letupan mercun dan bunga api di lokasi berkenaan daripada seorang Pegawai Kanan Polis dari Balai Polis Sungai Petani kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Pegawai itu telah menerima maklumat kejadian daripada aplikasi Whatsapp dalam bentuk video yang berdurasi 43 saat berkaitan letupan mercun dan bunga api di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati letupan berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis ‘happy bom firework’ dan semasa letupan berlaku, mercun itu telah terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain sehingga menyebabkan mercun dan bunga api terbakar dalam kuantiti yang banyak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zaidy berkata letupan itu menyebabkan suasana menjadi cemas, bagaimanapun anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani mengesahkan tiada tercetus kebakaran dan tiada kecederaan dialami oleh orang awam yang berada di sekitar lokasi berkenaan.

“Berikutan itu, polis menahan dua lelaki iaitu pemilik mercun yang berusia 27 tahun dan pembakar mercun berusia 24 tahun untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 7(a) Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.