
SUNGAI PETANI - Dua lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pembakaran mercun di tempat terbuka hingga mendatangkan bahaya seperti yang tular di media sosial, sejak pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata kejadian itu dipercayai berlaku awal pagi tadi berhampiran Bazar Aidilfitri dekat Dataran Zero, Jalan Badlishah di sini.
"Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pembakaran satu unit mercun jenis 'Happy Bom Firework'. Sebaik dibakar, mercun itu dipercayai terbalik dan tersasar ke arah lambakan mercun lain.
"Berikutan itu, berlaku suasana cemas disebabkan letupan dan dentuman mercun serta bunga api dalam kuantiti banyak. Pihak bomba turut dipanggil ke lokasi kejadian bagi mengawal keadaan," katanya.
Zaidy berkata, dua lelaki yang ditahan itu berusia 24 dan 27 tahun berasal dari Kampung Paya Besar, Kuala Ketil dan Taman Keladi dekat sini.
"Lelaki berusia 24 tahun itu dipercayai individu yang membakar mercun manakala seorang lagi lelaki yang ditahan, dipercayai pemilik mercun berkenaan.
"Ujian urin terhadap kedua-dua lelaki tersebut mendapati mereka negatif dadah," katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga di bazar tersebut yang enggan dikenali memaklumkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.45 pagi ketika kebanyakan mereka sedang berkemas untuk menutup perniagaan.
Katanya, kejadian itu bermula apabila seorang lelaki bertindak membakar mercun yang diletak di lantai, tidak jauh dari sebuah kedai menjual mercun.
"Kotak mercun itu tiba-tiba terbalik hingga menyebabkan percikannya menyambar bunga api serta mercun lain yang dijual di kawasan berhampiran.
"Orang ramai yang berada di situ kemudiannya bertempiaran menyelamatkan diri manakala saya bersama beberapa peniaga lain berusaha membasahkan mercun-mercun di meja peniaga tersebut. Tindakan itu berjaya menghalang letupan dan kebakaran daripada berterusan," katanya.
Sementara itu, jurucakap bomba memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4.55 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi, kami dapati mercun-mercun berkenaan sudah habis terbakar dan yang tinggal cuma sisa-sisa sampah dari bahan letupan berkenaan.
“Setakat ini tiada mangsa yang tercedera akibat daripada kejadian itu," katanya. – Getaran, 9 April 2024.
