KUALA LUMPUR – Dua lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah diberkas menerusi dua serbuan berasingan di sekitar Cheras pada Khamis dan Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, serbuan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sebuah bilik sewa di Taman Tenaga kira-kira jam 11.35 malam, Khamis.
"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dan merampas serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) seberat 1,257.50 gram, cecair MDMA sebanyak 8,850 mililiter, erimin 5 seberat 2.79 gram dan pil ecstasy seberat 1.55 gram.
“Turut dirampas wang tunai RM100 menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM13,800,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Selasa.
Rosdi berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
"Suspek direman selama enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Rosdi berkata, dalam serbuan kedua pula kira-kira jam 10.35 malam, Jumaat lalu, polis menyerbu sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an
Rosdi berkata, pemeriksaan menemukan cecair MDMA sebanyak 2,500 mililiter, ketamin seberat 10 gram, katrij vape mengandungi cecair MDMA serta ecstasy seberat 33.94 gram dengan nilai keseluruhan rampasan RM6,000.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan mempunyai satu rekod dikehendaki berkaitan kesalahan dadah,” katanya.
Menurut beliau, suspek direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.






