Sindiket edar dadah guna wanita warga asing sebagai ‘runner’

12 May 2026 • 3:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Sindiket edar dadah guna wanita warga asing sebagai ‘runner’
Rosdi (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. Foto: SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket pengedaran dadah yang menggunakan wanita warga asing sebagai 'runner' terbongkar susulan 14 individu termasuk 11 wanita ditahan menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar Cheras dan Bukit Jalil pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Cheras hasil risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

"Serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 11.15 pagi di sebuah hotel di Taman Maluri membabitkan penahanan seorang wanita warga Vietnam.

“Hasil pemeriksaan di dalam bilik hotel itu menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 0.31 gram dan ketamin seberat 1.01 gram yang diletakkan di atas meja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini pada Selasa.

Rosdi berkata, serbuan kedua kira-kira jam 12 tengah hari di sebuah kediaman di Bukit Jalil pula membawa kepada penahanan tujuh wanita warga Vietnam, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh.

"Pemeriksaan lanjut menemukan serbuk methylenedeioxy methamphetamine (MDMA) seberat 82.72 gram dan ketamin seberat 1.64 gram selain wang tunai RM700 di ruang tamu rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan ketiga kira-kira jam 1.15 tengah hari di sebuah lagi kediaman di Bukit Jalil, polis menahan dua wanita warga Vietnam dan dua lelaki tempatan.

“Turut dirampas ialah cecair MDMA sebanyak 3,040 mililiter dan serbuk MDMA seberat 879 gram,” katanya.

Rosdi berkata, keseluruhan rampasan dadah daripada tiga serbuan itu dianggarkan bernilai RM7,247 membabitkan methamphetamine, ketamin, cecair MDMA dan serbuk MDMA.

"Hasil saringan awal mendapati sembilan daripada 14 suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin.

“Kesemua suspek berusia 20 hingga 30-an yang ditahan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan lanjut," katanya.