Dua lelaki hilang ketika memancing ditemukan lemas

22 Aug 2023 • 8:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mayat dibawa di Hospital Labuan untuk bedah siasat.

image is not available
Operasi mencari dan menyelamat dua pemancing dilakukan oleh pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Maritim Malaysia dan JBPM.

LABUAN - Dua lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing ditemukan lemas di kawasan Pantai Kiamsam, di sini pada petang Isnin.

Mayat Yasin Johnar, 20, ditemukan terapung pada jam 5.28 petang manakala anak saudaranya, Mohammad Shah Nadzmin, 19, ditemukan selang lima minit kemudian di kawasan sama.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.50 pagi Isnin.

"Siasatan mendapati kedua-duanya telah keluar memancing dipercayai menggunakan sampan di kawasan Pantai Kiamsam pada jam 6 pagi Ahad lalu.

"Operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa kemudian diaktifkan dan mayat kedua-duanya akhirnya ditemukan di sekitar kawasan pantai berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya lagi, mayat kedua-kedua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Nukleus Labuan untuk bedah siasat.

"Bagaimanapun, setakat ini kes disiasat di bawah laporan mati mengejut," katanya.

Sebelum itu, operasi pencarian turut melibatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan juga orang awam.