Dua lelaki maut kereta bertembung

4 May 2026 • 3:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki maut kereta bertembung
Anggota bomba sedang menjalankan usaha mengeluarkan mangsa terlibat dalam kemalangan di Persiaran Mokhtar Dahari pada Isnin.

SHAH ALAM - Dua lelaki maut selepas kereta dipandu mereka bertembung dalam kejadian di Persiaran Mokhtar Dahari di sini pada Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 1.36 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong digerakkan ke lokasi kejadian.

"Jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 1.50 tengah hari.

"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua kereta iaitu Perodua Kancil dan Perodua Axia yang bertembung," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, terdapat dua mangsa tersepit di bahagian pemandu kedua-dua kenderaan terbabit.

"Mangsa pertama lelaki berusia 39 tahun yang memandu Perodua Axia, manakala mangsa kedua lelaki berusia 21 tahun yang memandu Perodua Kancil.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia di lokasi kejadian," katanya.

Ahmad Mukhlis berkata, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi membabitkan lapan anggota bersama dua jentera iaitu sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS)," katanya.