
Tuaran: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori seberat 10 tan di Jalan Penampang Baru berhampiran Kampung Lemawang, pada Sabtu.
Mangsa berusia 51 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam insiden kira-kira jam 4.20 petang oleh pegawai perubatan Hospital Tuaran. Mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan jenis Toyota Innova.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Kurong AK Beki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.24 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Wanita itu ditemui tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 5.45 petang.






