Dua lelaki rogol saudara bawah umur dijel, disebat

8 Dec 2022 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dua lelaki, yang secara berasingan merogol saudara bawah umur mereka dalam tempoh kurang 24 jam, masing-masing dipenjara 18 dan 20 tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki berusia 44 dan 33 tahun itu, selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah terhadap mereka, pada Rabu.

Lelaki berusia 44 tahun itu dipenjara 18 tahun dan dikenakan lapan sebatan kerana merogol kanak-kanak berusia 10 tahun dan 10 bulan itu yang juga anak saudaranya, pada tengah hari 30 Sept 2020 di dalam semak sebuah ladang kelapa sawit di sebuah kampung di Kota Marudu.

Sementara itu, lelaki berusia 33 tahun itu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan dikenakan 10 sebatan kerana merogol kanak-kanak sama yang juga adik iparnya, pada jam 8 pagi hari sama di sebuah bilik sebuah rumah di kampung sama di Kota Marudu.

Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan dua tertuduh itu menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas hukuman penjara mereka selesai.

Semasa rayuan, peguam Adam George Aludah yang mewakili kedua-dua tertuduh, meminta hukuman ringan dengan mengatakan mereka adalah penanggung tunggal keluarga masing-masing, dan ia kesalahan pertama mereka.

Adam juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah ditahan selama dua tahun, dan mereka menyesal serta insaf dengan kesalahan mereka serta berjanji tidak akan mengulangi sebarang kesalahan pada masa akan datang.

Dia memberitahu mahkamah bahawa lelaki berusia 44 tahun itu mempunyai sembilan anak sementara lelaki seorang lagi mempunyai empat anak serta perlu menjaga ibu bapa yang sudah tua.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mas Izzaty Lokman menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pencegahan bagi menunjukkan badan kehakiman serius menangani jenayah seksual yang semakin berleluasa.

Mas Izzaty berhujah bahawa mangsa bukan saja dirogol sekali oleh seorang individu dalam tempoh kurang 24 jam, tetapi tiga kali oleh dua individu berbeza yang merupakan saudaranya.

Dia berkata tertuduh pertama (bapa saudara) jelas mengambil kesempatan terhadap keadaan mangsa kerana dia baru saja mengadu dirogol oleh tertuduh kedua (abang ipar).

“Tertuduh pertama secara curang menawarkan diri untuk membawa mangsa pulang ke rumah keluarganya tetapi sebaliknya membawanya ke kawasan kelapa sawit dan merogolnya. Dia malah menawarkan RM100 kepada mangsa.

“Bagi tertuduh kedua, dia tidak menemani isterinya yang sarat mengandung yang juga kakak mangsa ke klinik untuk pemeriksaan dengan alasan mahu pergi bekerja. Dia bukan sahaja berbohong kepada isterinya tetapi telah mengambil kesempatan ke atas adik (mangsa) yang dengan niat baik bersetuju menjaga anak-anak kakaknya.

“Tertuduh merogol mangsa ketika ketiadaan isterinya tetapi dengan kehadiran anak-anaknya yang berada di dalam rumah ketika kejadian. Dia merogol mangsa bukan sekali tetapi dua kali... memang tertuduh hanya didakwa atas satu pertuduhan tetapi ini tidak menafikan kejadian kedua.

“Kejadian kedua (dirogol tertuduh kedua) berlaku selepas mangsa memutuskan untuk pulang semula ke rumah tertuduh kedua selepas dirogol tertuduh pertama kerana mahu membawa adik dan anak-anak saudaranya pulang ke rumah ibunya.

“Dengan itu, mahkamah tidak harus mengambil kira kepentingan tertuduh semata-mata kerana mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan mangsa serta orang awam.

“Dalam kes ini, mereka berdua telah berkahwin dan mempunyai anak sendiri tetapi masih tidak dapat mengawal nafsu. Kedua-dua mereka yang pernah menjalin hubungan seksual dalam perkahwinan, sepatutnya dikenakan hukuman yang lebih berat,” kata Mas Izzaty.

Pihak pendakwaan telah memanggil lapan saksi dan dua saksi pembelaan memberi keterangan semasa perbicaraan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.