Dua maut, 12 cedera tiga kenderaan bertembung

2 Jun 2025 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Dua mangsa maut dalam kejadian di Jalan Machang-Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah di Machang pada Ahad malam. Foto JBPM

MACHANG - Dua maut manakala 12 lagi cedera selepas tiga kenderaan dipercayai bertembung dalam kemalangan di Jalan Machang–Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah di sini malam Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam itu, mangsa dikenali sebagai Zulkifli Salleh, 54, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Mohammad Zakquan Abdullah, 12, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Machang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Suhaimi Razali berkata, kedua-dua mangsa menaiki kereta jenis Proton Waja bersama empat penumpang wanita lain.

“Kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan iaitu trak pikap jenis Chevrolet, Perodua Kancil dan Proton Waja, yang dipercayai datang dari arah bertentangan.

“Mangsa lelaki yang maut dipercayai tersepit, dan kami menjalankan operasi ‘size-up’ bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, lima mangsa dari trak pikap terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki, turut mengalami kecederaan.

Turut cedera ialah pemandu dan dua penumpang Perodua Kancil, masing-masing seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berusia empat dan tujuh tahun.

Kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan insiden tersebut.