Seorang Maut, 13 Cedera Kemalangan Babit 3 Kenderaan

LocalCars
2 Jun 2025 • 2:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar IPD Machang

MACHANG - Seorang lelaki maut manakala 13 individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di KM9.4, Jalan Machang-Pasir Puteh (Banggol Judah), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata kejadian kira-kira 11.45 malam itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Chevrolet, sebuah Proton Waja dan sebuah Perodua Kancil.

"Siasatan awal mendapati kenderaan pikap Chevrolet dinaiki lima individu dari arah Machang ke Pasir Puteh telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Waja dinaiki enam individu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan perlanggaran itu, pemandu Proton Waja meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam kenderaan.

"Perodua Kancil yang berada di belakang Proton Waja dan dinaiki tiga individu termasuk kanak-kanak pula turut terlibat kemalangan itu kerana gagal mengelak dan merempuh kenderaan terlibat," katanya.

Ahmad Shafiki berkata mayat dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat, manakala 13 yang cedera dirawat di hospital sama dan Hospital Tanah Merah.

Beliau berkata kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Fatin Nurhanis Ibrahim menerusi talian 011-1454020 atau Bilik Gerakan lou Pejalbat Polis Daerah Machang 09-9751222. - BERNAMA