
NEW YORK: Dua orang maut manakala sekurang-kurangnya 17 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, selepas sebuah bangunan tiga tingkat runtuh berhampiran tapak pembinaan di New York, Amerika Syarikat (AS).
Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan anggota bomba menyelongkar timbunan runtuhan di hadapan sebuah bangunan yang dipercayai kediaman, dengan dindingnya musnah sehingga mendedahkan ruang bilik tidur dan almari pakaian.
Bangunan itu runtuh ke kawasan kerja penggalian bersebelahan, menyebabkan beberapa orang terperangkap.
Anggota bomba mengambil masa beberapa jam untuk menyelamatkan mangsa dengan menggunakan dron, anjing pengesan dan gergaji rantai.
“Kami tidak mengetahui jumlah orang yang masih berada di kawasan runtuhan dan operasi ini akan mengambil masa yang panjang,” kata Pesuruhjaya Jabatan Bomba New York (FDNY), Lillian Bonsignore, kepada pemberita di lokasi kejadian di Flatbush, Brooklyn, lewat Rabu.
Beliau mengesahkan dua orang maut, namun tidak mendedahkan usia mereka. Seramai 17 lagi cedera, termasuk tujuh kanak-kanak, dengan empat daripadanya mengalami kecederaan kritikal.
Lebih 250 anggota bomba dan paramedik dikerahkan ke lokasi kejadian, menurut FDNY menerusi hantaran di platform X. Punca kejadian masih dalam siasatan.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani memuji usaha pasukan kecemasan yang berdepan keadaan runtuhan tidak stabil serta ruang kosong berbahaya di bawah permukaan.
“Saya ingin meminta warga New York meluangkan sedikit masa untuk mendoakan mereka yang terkorban hari ini serta semua pihak yang sedang bersedih atas kehilangan insan tersayang,” katanya pada sidang media.
Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Anthony memberitahu PIX11 News, dia terdengar jeritan orang ramai serta bunyi seperti letupan bom ketika bangunan itu runtuh.
Seorang lagi saksi, Melissa Orna, memberitahu The New York Times, seluruh bangunan mula bergegar sebelum runtuh sekelip mata.
Jabatan Bangunan New York berkata, pegawainya berada di lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat serta menjalankan pemeriksaan kestabilan struktur bangunan berhampiran.
Pesuruhjayanya, Ahmed Tigani berkata, pekerja pembinaan sedang menjalankan kerja penggalian ketika bangunan itu runtuh.
Beliau menambah, pemaju telah mendapat kelulusan untuk membina bangunan tiga tingkat di tapak berkenaan dan sedang memohon kebenaran bagi pembinaan bangunan sembilan tingkat.-AFP
The post Dua maut, 17 cedera bangunan runtuh di New York appeared first on Utusan Malaysia.

