KOTA TINGGI - Dua individu maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 52.5 Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), berhampiran Desaru, di sini, awal pagi Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Hazmi Zulkafli berkata, kemalangan kira-kira jam 1.49 pagi itu membabitkan Proton X70, Proton Persona dan Toyota Unser.
Menurutnya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari BBP Bandar Penawar digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 2.06 pagi.
“Seorang lelaki berusia 58 tahun yang menaiki Proton X70 dan seorang wanita berusia 26 tahun yang menaiki Proton Persona disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Dua wanita berusia 51 dan 47 tahun yang turut menaiki Proton X70 cedera sebelum dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) menggunakan ambulans KKM, manakala seorang lelaki dewasa yang menaiki Toyota Unser dilaporkan selamat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Hazmi berkata, dua mangsa yang tersepit dalam kenderaan masing-masing berjaya dikeluarkan anggota bomba menggunakan peralatan pemotong hidraulik.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.38 pagi.





