
KOTA TINGGI: Perjalanan seorang anggota polis berpangkat sarjan untuk mengambil isterinya pulang daripada berniaga bertukar tragedi selepas dia antara yang terkorban dalam kemalangan maut di Kilometer (KM) 52.8 Lebuhraya Senai – Desaru, awal pagi tadi.
Mangsa, Allahyarham Sarjan Jorari Jusoh, 58, meninggal dunia ketika dalam perjalanan pulang ke Senggarang, Batu Pahat selepas mengambil isterinya, Yuli Helmiyati Mohd. Salleh, 51 yang berniaga di festival makanan bersama dua ahli keluarga lain dekat Bandar Penawar, di sini.
Anak mangsa, Amirul Hakim Jorari, 30, berkata, arwah bapanya itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat dan pergi ke Bandar Penawar pada Sabtu untuk menemani ibu tirinya berniaga sebelum bertolak pulang, kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
“Masa kejadian adik memandu kenderaan Toyota Unser manakala ayah datang ke sana memang untuk ambil ibu dan mak cik yang turut sama menaiki Proton X70.
“Adik, ibu dan mak cik sudah lama berada di Bandar Penawar sejak Selasa, lalu kerana menyertai food festival itu. Ayah yang bercuti pada hujung minggu pergi ke sana untuk jemput ibu balik ke Batu Pahat. Tak sangka pula kami dikejutkan dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.55 pagi tadi, seorang anggota polis berpangkat Sarjan dan seorang jurutera disahkan maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 52.8 Lebuhraya Senai-Desaru, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, Mangsa maut dikenali sebagai Jorari yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan Nurul Syifa’ Mohd Kasimi, 26, yang memandu Proton Persona.
Menurut Amirul, akibat kemalangan itu, ibu dan mak ciknya kini dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI) manakala adiknya dalam keadaan selamat.
Katanya, arwah bapanya pernah merancang untuk memberi tumpuan kepada perniagaan bersama isteri selepas bersara, kira-kira dua tahun lagi.
“Ayah dah ada rancangan hendak buka bisnes makanan lepas bersara nanti, dia memang minat memasak. Sebab itu, masa cuti dua hari hujung minggu lalu, arwah sanggup menemani isteri berniaga bakso dan nasi ayam penyet,” ujarnya. – UTUSAN
The post Anggota polis maut selepas jemput isteri pulang berniaga appeared first on Utusan Malaysia.





