
Dua Maut, Enam Cedera Dalam Kemalangan Di Lipis
KUANTAN, 13 Jun (Bernama) — Dua maut manakala enam lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka melanggar sebuah lori yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 37, Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) berhampiran Kampung Chegar Perah, Lipis awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Ismail Man berkata siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang juga pemandu lori berusia 33 tahun bersama kelindan dalam perjalanan ke Ketereh, Kelantan bagi menghantar perabot, manakala pemandu kereta seorang lelaki 45 tahun bersama tujuh penumpang sedang dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan untuk menziarahi ahli keluarga.
“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori telah berhenti di susur jalan untuk membuang air. Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang lori tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat kemalangan yang berlaku kira-kira 5.30 pagi itu, Roslawati Mat Daud, 50, yang merupakan isteri kepada pemandu dan anak saudara pemandu Aqif Azfar Azman, 6, meninggal di tempat kejadian.
“Aqif Azfar meninggal dunia ketika berada di pangkuan bapanya yang duduk di bahagian penumpang hadapan,” katanya.
Ismail berkata pemandu dan lima penumpang lain dari kereta berkenaan telah dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut, selain pemandu dan kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, pihaknya turut memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Sumber: BERNAMA
The post Dua Maut, Enam Cedera Dalam Kemalangan Di Lipis appeared first on Siakap Keli.


