
ROMPIN – Dua maut dalam kejadian kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis BMW X5 dan sebuah motosikal di Kilometer 151 Jalan Kuantan-Johor Bahru di sini awal pagi ini.
Mangsa yang maut adalah pemandu SUV jenis BMW X5, Khor Ho An dan penunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC, Muhammad Darwish Fitri Ramli, 16.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu berlaku ketika SUV dalam perjalanan dari Tanjung Gemok di sini menghala ke Kuantan manakala motosikal dari Sungai Meranti di sini menghala ke bandar Rompin.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kenderaan jenis BMW X5 telah hilang kawalan lalu melanggar belakang motosikal yang melalui jalannya yang sah.
“Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu BMW X5 dan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu SUV kerana gagal mengawal kenderaan sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku. – KOSMO! ONLINE
The post Dua maut kemalangan BMW X5 dan motosikal appeared first on Kosmo Digital.






