
ROMPIN: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dan seorang pelajar berusia 16 tahun maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 serta sebuah motosikal di Kilometer 151, Jalan Kuantan-Johor Bahru berhampiran Pantai 7, Tanjung Gemok, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, pemandu BMW X5, Khor Ho An, 18, dari Kampung Sri Lalang, Mersing, Johor dan penunggang motosikal Yamaha 135LC, Muhammad Darwish Fitri Ramli, 16, dari Kampung Sungai Meranti, Rompin disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua kenderaan bergerak dari arah yang sama iaitu Tanjung Gemok menghala ke Kuala Rompin ketika kejadian berlaku.
Katanya, berdasarkan laporan awal siasatan, pemandu BMW dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui lokasi kejadian sebelum melanggar bahagian belakang motosikal yang sedang bergerak di laluan sama.
“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Sharif berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Rompin untuk bedah siasat yang dijadualkan dijalankan kira-kira pukul 10 pagi ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan. – UTUSAN
The post Dua maut nahas BMW, motosikal di Rompin appeared first on Utusan Malaysia.






