Dua maut: Kenderaan bertembung di garisan berkembar kawasan selekoh - Polis

5 May 2026 • 7:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua maut: Kenderaan bertembung di garisan berkembar kawasan selekoh - Polis
Keadaan kereta dinaiki mangsa di lokasi kejadian. Gambar kecil: Mohd Yusof dan Muhamad Irfan (bawah)

KUALA KRAI – Dua kenderaan bertembung di garisan berkembar di kawasan selekoh dipercayai punca kemalangan yang meragut dua nyawa di Kilometer 88 Jalan Kota Bharu–Gua Musang berhampiran Kampung Manek Urai di sini pada Selasa.

Mereka yang maut ialah pemandu Perodua Kembara, Mohd Yusof Mat Yasim, 64, dan seorang penumpang Honda City, Muhamad Irfan Zaidin, 20.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku pada jam 8.15 pagi ketika Perodua Kembara dipandu dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Gua Musang sebelum bertembung dengan Honda City di laluan bertentangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian yang merupakan kawasan selekoh, kedua-dua kenderaan dipercayai bertembung di tengah garisan berkembar pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan dua mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Dua lagi mangsa iaitu penumpang Perodua Kembara serta pemandu Honda City hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra untuk rawatan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke unit forensik hospital sama bagi proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau pegawai penyiasat, Inspektor Nurhasmira Tajol di talian 09-9666222.