KUALA KRAI – Tindakan seorang pemuda yang berulang kali memohon reda ibunya sebelum bertolak pulang ke kampung di Kelantan menjadi kenangan terakhir buat keluarganya selepas dia maut dalam kemalangan di Simpang Tiga Manik Urai Lama di sini pada Selasa.
Mangsa, Muhamad Irfan Zaidin, 20, juga penumpang Honda City maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan, termasuk sebuah Perodua Kembara yang turut mengorbankan pemandu kereta itu, Mohd Yusof Mat Yasim, 64.
Bapanya, Zaidin Wahab, 63, berkata, kali terakhir mereka berhubung pada Isnin malam apabila Irfan bersungguh-sungguh mahu bercakap dengan ibunya.
Menurutnya, dalam perbualan itu, anak kelima daripada enam beradik tersebut berulang kali meminta reda daripada ibunya dan berkata mahu balik ke kampung di Peringat, Kota Bharu.
Ibunya melarang kerana mereka baru sahaja bertemu minggu lepas di Subang, Selangor semasa abangnya yang berkhidmat sebagai anggota tentera melakukan persiapan untuk berpindah ke Kuching, Sarawak.
“Dia telefon adiknya malam tadi (Isnin), minta nak bercakap dengan ibunya dan bersungguh-sungguh serta banyak kali dia sebut minta reda.
“Dia beritahu nak pulang juga sebab temankan kawan dan nak juga jumpa ibunya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai di sini pada Selasa.
**media[3511308]**
Zaidin berkata, kemalangan itu diketahui selepas kakak kepada Muhamad Irfan menelefon pemuda itu untuk mengetahui lokasi terkininya.
Bagaimanapun tambahnya, panggilan anak perempuannya itu telah dihjawab oleh pihak hospital, sekali gus memaklumkan tentang tragedi berkenaan.
“Doktor maklumkan dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia.
“Masa itulah kami tahu kejadian itu berlaku,” katanya.
Menurutnya, Muhamad Irfan yang bekerja sebagai pemandu e-hailing di Kuala Lumpur telah pulang ke kampung pada Aidilfitri lalu dan kali terakhir bertemu ibunya minggu lepas.
“Dia seorang yang ceria, suka buat lawak dalam keluarga,” katanya.
Jenazah Muhamad Irfan dijangka dikebumikan di kampung halaman keluarga di Peringat.
Dalam kejadian jam 9.12 pagi itu, dua lelaki maut manakala tiga lagi cedera termasuk seorang wanita orang kurang upaya.





