Dua maut lori muatan ayam terbalik

14 Apr 2026 • 1:36 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua maut lori muatan ayam terbalik
Dua lelaki maut selepas tercampak keluar dari lori dinaiki di Kilometer 194.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara pada Selasa. Foto JBPM Perak

MANJUNG - Dua lelaki maut selepas lori membawa muatan ayam yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 194.7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara di sini pada Selasa.

Panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan pada jam 10.11 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat awal menyebut, nahas melibatkan sebuah lori yang terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan.

“Terdapat dua lelaki telah tercampak keluar dan tersepit di tepi lori. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, mangsa yang maut melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun serta seorang lelaki warga Vietnam berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, operasi menyelamat dilakukan dengan kekuatan tujuh anggota bersama sebuah jentera.

“Tindakan operasi melibatkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.32 pagi,” katanya.