
BENTONG - Dua lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas treler dinaiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer (KM) 42.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak hala ke Bentong pada Isnin.
Mangsa yang maut merupakan pemandu treler dikenali Norazuat Mokhtar berusia 39 tahun, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dapat dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.50 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler yang membawa muatan besi buruk dipandu mangsa dari Bukit Kemuning, Klang menghala ke Kuantan.
"Apabila sampai di lokasi, pemandu gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke dalam gaung.
"Kejadian menyebabkan pemandu maut di tempat kejadian manakala seorang lagi turut meninggal dunia dan identitinya belum dapat dikenal pasti," katanya.
Jelasnya, mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.
Ujarnya, usaha mengenal pasti identiti seorang lagi mangsa akan dilakukan dengan mengesan cap jari.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang lelaki tersepit di bawah kepala lori dan timbunan besi selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 8.17 malam.
Menurutnya, pasukan bomba juga menggunakan bantuan unit anjing pengesan untuk mengesan mangsa.



