GUA MUSANG – Dua lelaki maut selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah Toyota Hilux di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Bukit Lanjut, di sini, pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 10.24 pagi yang turut membabitkan sebuah kenderaan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati anggota polis sedang menjalankan pemeriksaan rawak di Kilometer 16 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis sebelum SUV terbabit dalam keadaan mencurigakan.
**media[3628689]**“Anggota polis kemudian mengekori kenderaan berkenaan bagi tujuan pemeriksaan selepas SUV dipandu berpatah balik dan bergerak menghala ke Bandar Gua Musang.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian sisi belakang sebuah Toyota Hilux,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Beliau berkata, kenderaan terbabit kemudian terbabas ke bahu jalan dan merempuh sebuah tiang lampu.
“Akibat kemalangan itu, seorang lelaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.
“Beberapa lagi individu yang berada dalam kenderaan mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Menurutnya, dua mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat.
Katanya, pemandu dan anggota yang berada dalam kenderaan polis serta pemandu Toyota Hilux dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti identiti kesemua individu yang terlibat serta mendapatkan gambaran lengkap mengenai kejadian,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut mengalu-alukan mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.





