Dua melecur, seorang sesak nafas rumah sewa terbakar

19 Jun 2026 • 8:02 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua melecur, seorang sesak nafas rumah sewa terbakar
Rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Image from: Dua melecur, seorang sesak nafas rumah sewa terbakar
Rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat.

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Dua melecur manakala seorang lagi mengalami sesak nafas selepas sebuah rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik di Jalan Permai 4 Taman Perkota Hang Tuah Bukit Baru di sini terbakar dalam kejadian awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada jam 3.38 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dengan bantuan BBP Bukit Katil ke lokasi.

Menurutnya, setibanya pasukan bomba pada jam 3.48 pagi, didapati sebuah rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki persegi sedang terbakar.

“Kebakaran melibatkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur rumah tersebut yang disewakan mengikut bilik kepada beberapa penyewa.

“Seramai enam penghuni warga tempatan berjaya diselamatkan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, dua mangsa mengalami kecederaan melecur iaitu seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun, manakala seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

Katanya, tiga lagi penghuni masing-masing seorang wanita berusia 44 tahun, seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang lelaki lingkungan 40-an berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.

**media[3555550]**

“Ketiga-tiga mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS BBP Ayer Keroh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Mohd Hafidzatullah berkata, operasi pemadaman melibatkan 15 anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua kenderaan EMRS.

“Api berjaya dikawal pada jam 3.57 pagi menggunakan salur bantu mula dan operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved