
JAKARTA – Polis Indonesia sedang memburu penjenayah yang disyaki terlibat dalam insiden memecahkan dua buah mesin juruwang automatik (ATM) di Samarinda, wilayah Kalimantan Timur, lapor saluran berita Radar Kaltim.
Kejadian yang berlaku di sebuah premis di Jalan Cendana semalam itu mengakibatkan kerugian mencecah 400 juta rupiah (RM90,000).
Menurut pihak berkuasa tempatan, suspek dipercayai merosakkan pintu jeriji besi di bahagian hadapan premis untuk menceroboh masuk sebelum bertindak memecahkan kedua-dua mesin ATM terbabit bagi melarikan wang tunai di dalamnya.
Pemeriksaan awal di lokasi kejadian turut mendapati bahagian siling premis berada dalam keadaan rosak, menimbulkan syak wasangka bahawa suspek meloloskan diri melalui laluan tersebut.
Pegawai Penyiasat Balai Polis Sungai Kunjang, Inspektor Dua Roy Sihombing berkata, pihaknya bersama pasukan forensik Polis Samarinda telah melakukan siasatan di tempat kejadian selain merakam keterangan saksi termasuk pekerja dan penduduk setempat.
“Siasatan lanjut masih giat dijalankan di lapangan, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti bilangan serta identiti suspek yang terlibat.
“Menurut maklumat daripada pihak vendor, jumlah kerugian akibat rompakan dua mesin ATM ini dianggarkan mencecah 400 juta rupiah,” katanya.- AGENSI
The post Dua mesin ATM dipecah, penjenayah larikan RM90,000 appeared first on Kosmo Online.

