Gagal keluarkan duit, lelaki rosakkan mesin perbankan, cederakan orang awam

1 Nov 2026 • 10:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gagal keluarkan duit, lelaki rosakkan mesin perbankan, cederakan orang awam
Suspek dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin CDM dan satu mesin deposit cek di sebuah bank kira-kira 12.05 tengah malam. Foto Polis Sarikei

SARIKEI - Berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang sebelum dipercayai mencederakan seorang pemuda yang cuba menghalangnya dalam kejadian di Jalan Masjid Lama dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata, suspek berumur 38 tahun itu dipercayai merosakkan dua mesin ATM, dua mesin deposit tunai (CDM) dan satu mesin deposit cek di sebuah bank kira-kira 12.05 tengah malam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian akibat tidak berpuas hati selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM tersebut, selain mengaku berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

"Selepas kejadian, suspek dipercayai melarikan diri dengan memandu sebuah Toyota Hilux secara melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Aswandy berkata, seorang pemuda berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas menggunakan parang oleh suspek ketika cuba menghalangnya di lokasi berhampiran.

Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapat rawatan lanjut.

"Suspek kemudiannya menyerah diri di Balai Polis Sarikei dan polis turut merampas sebuah Toyota Hilux serta sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian terbabit," katanya.

Aswandy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan benzodiazepin, manakala semakan mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved