KEMAMAN – Dua nelayan dikhuatiri hilang manakala seorang lagi terselamat selepas bot yang dinaiki mereka karam akibat dipukul ribut di perairan Kemaman di sini pada Rabu.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam itu melibatkan tekong bot, Azan Muda, 68, dan seorang kru, Nordin Mohammad, 61, yang sehingga kini masih belum ditemui.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, seorang lagi mangsa, Mahadi Jusoh, 51, bagaimanapun ditemui selamat oleh nelayan lain kira-kira jam 10.30 pagi pada Khamis.
Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
"Sebelum kejadian, ketiga-tiga nelayan berkenaan dilaporkan keluar menangkap ikan kira-kira jam 11.30 pagi pada Selasa sebelum bot mereka dipukul ribut pada Rabu.
"Pihak polis menerima laporan daripada mangsa yang selamat kira-kira jam 10 malam ini (Khamis) yang memaklumkan bot mereka terbalik pada jarak 27.9 batu nautika dari perairan Kemaman," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, sebuah aset iaitu Bot Penggalang 16 telah diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa.
Bagaimanapun katanya, operasi tersebut terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.
"Operasi pencarian dihentikan sementara dan akan disambung semula esok pagi (Jumaat) berikutan cuaca buruk serta keadaan laut bergelora yang menyukarkan pergerakan pasukan penyelamat," katanya.






