Dua Orang Disahkan Maut Dalam Letupan Sebuah Kapal Di Perairan Bintulu

3 Aug 2024 • 6:13 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Salah seorang mangsa maut berasal dari Sibu

Dua Orang Disahkan Maut Dalam Letupan Sebuah Kapal Di Perairan Bintulu. Dilaporkan bahawa dua maut dan seorang parah dalam insiden letupan membabitkan sebuah kapal di perairan Samalaju, 23 batu nautika dari pantai Samalaju, di Bintulu, Sarawak.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua,  kesemua mangsa berkenaan merupakan anak kapal tersebut.

image is not available
Dua Orang Disahkan Maut Dalam Letupan Sebuah Kapal Di Perairan Bintulu. Sumber foto: Astro Awani

Insiden berlaku pada waktu malam

Insiden membabitkan kapal Icon Amara itu dikatakan berlaku sekitar jam 10.40 malam ketika kapal tersebut sedang menuju ke pelantar Patricia.

Jelas Nixon, sejurus mendengar letupan di bilik enjin, semua kakitangan bergegas ke bahagian bawah kapal dan mendapati bilik enjin berasap.

Pintu utama bilik enjin juga tercabut keluar sebelum usaha menyelamat digerakkan, termasuk seorang mangsa cedera parah melecur di muka.

Turut difahamkan bahawa, kejadian tersebut membabitkan lima mangsa, dengan dua daripada mangsa lain telah dipindahkan ke kapal JM Purnama untuk mendapatkan rawatan awal, manakala tiga yang lain dibawa Pelabuhan Bintulu.

image is not available
Sumber foto : Sinar Harian

Mangsa yang terkorban adalah

Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Pembantu Jurutera; Muhamad Firdaus Abdul Fatah, 36 tahun dari Perak dan Oiler, George Ngilah, berusia 24 tahun dari Sibu.

Seorang lagi mangsa telah dikejarkan ke Hospital Nyabau untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Hendery Ardimanshah berkata, pihaknya menerima maklumat untuk membantu pihak Hospital Bintulu sekitar jam 12.57 tengah malam.

“Pihak bomba menerima panggilan daripada pihak KKM untuk membantu dalam urusan perawatan ke atas tiga-tiga mangsa berkenaan, ketiga-tiga mangsa adalah susulan daripada kejadian letupan kapal.

“Pihak bomba dalam hal ini hanya membantu pihak KKM menguruskan kecederaan dan mangsa-mangsa yang terlibat,” katanya ketika dihubungi.

Difahamkan juga kapal tersebut yang beroperasi di kawasan telaga minyak PTTEP SK kini sedang ditunda ke Bintulu untuk siasatan yang lebih lanjut.

Lagi berita terkini untuk anda di sini:

https://www.iloveborneo.my/wanita-hampir-diculik-kumpulan-bertopeng-di-bakam-miri

https://www.iloveborneo.my/hutan-hujan-borneo-harapan-industri-hidrogen-bersih