Dua PBT selamatkan hampir sembilan tan lebihan makanan bazar

24 Mar 2025 • 5:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Oleh Suhaila Shahrul Annuar dan Sheeda Fathil

SHAH ALAM, 24 MAC: Hampir sembilan tan lebihan makanan dan minuman dari bazar Ramadan diselamatkan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam tempoh tiga minggu bermula awal bulan ini.

Menerusi program MySave Food@Ramadan Bazar, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumpul 7.717 tan makanan untuk diagihkan ke surau, masjid, universiti dan pengsapuri kos rendah.

Menurut MBSA, program setiap Isnin hingga Jumaat mulai 4 Mac melibatkan bazar Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17, Seksyen 19, Seksyen 28 dan Denai Alam Seksyen U16.

“MBSA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak, sukarelawan dan peniaga bazar Ramadan yang menyokong dan menyumbangkan makanan dan minuman tersebut,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Datuk Bandar MBSA Dato’ Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata program siri kelima itu dilaksanakan bagi mengelak pembaziran makanan dan membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula mengumpul 1.098 sisa tan makanan dari bazar SS6/1 Kelana Jaya dan Seksyen 4, Kota Damansara untuk dijadikan baja organik.

“Kejayaan ini bukti bazar Ramadan bukan sahaja sebagai pusat ekonomi tetapi platform penting memelihara alam sekitar,” kata Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, MBPJ turut melaksanakan program Bakul Bahagianya Ramadan @ PJ 2025 dengan mengedarkan makanan kepada golongan memerlukan melibatkan kerjasama pihak berkaitan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved