Dua pekerja hidroelektrik ditemui hidup selepas 10 hari

4 Sep 2026 • 2:11 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dua pekerja hidroelektrik ditemui hidup selepas 10 hari

KATHMANDU: Dua pekerja hidroelektrik yang terperangkap dalam sebuah terowong berjaya diselamatkan pada Jumaat, selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat selama 10 hari susulan banjir besar di kawasan Himalaya.

Pasukan penyelamat bersorak ketika seorang daripada pekerja itu berjaya dikeluarkan melalui laluan sempit yang dipenuhi lumpur, menurut video yang dikeluarkan Kementerian Tenaga.

Pekerja itu kemudian dibantu berdiri sebelum dibawa oleh anggota penyelamat ke arah sebuah helikopter.

Gambar yang dikeluarkan pihak berkuasa turut menunjukkan seorang lagi pekerja berlumuran lumpur dengan kedua-dua tangannya dirapatkan ketika dibawa keluar menggunakan pengusung.

“Selagi masih bernafas, selagi itulah ada harapan,” kata Menteri Tenaga, Biraj Bhakta Shrestha, dalam satu kenyataan.

Beliau berkata operasi menyelamat masih diteruskan di semua terowong yang terjejas, sambil menggesa orang ramai meneruskan usaha dan doa.

Pasukan penyelamat menyifatkan penemuan kedua-dua pekerja itu sebagai ‘keajaiban’ selepas runtuhan glasier dan gunung pada 26 Ogos di sempadan China-Nepal.

Bencana berkenaan mengorbankan sekurang-kurangnya 1,280 orang, manakala lebih 5,500 lagi masih dilaporkan hilang.

“Saya sangat gembira, hati saya terasa lebih lega,” kata Amir Maharjan, abang kepada salah seorang pekerja yang diselamatkan, Kabir Maharjan, kepada AFP.

Menteri Dalam Negeri, Sudan Gurung, mengenal pasti kedua-dua mangsa sebagai Sanjay Shah, 30, penyelia mekanikal, dan Maharjan, 45, penyelia mekanikal.

Pejabat Perdana Menteri berkata, Shah berada dalam keadaan stabil, manakala Maharjan sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi.

Kedua-dua pekerja itu adalah antara ratusan pekerja projek hidroelektrik yang dilaporkan hilang sejak 26 Ogos selepas dinding lumpur dan runtuhan debris melanda kawasan berkenaan susulan runtuhan besar glasier dan batuan di sebuah gunung di sempadan China-Nepal.

Operasi mencari masih diteruskan di terowong Trishuli 3A, lokasi kedua-dua pekerja itu diselamatkan, serta beberapa lokasi lain selepas sekurang-kurangnya 12 projek hidroelektrik musnah akibat banjir.

Kerajaan sebelum ini menganggarkan lebih 100 pekerja mungkin masih hidup dan terperangkap dalam beberapa terowong.- AFP

The post Dua pekerja hidroelektrik ditemui hidup selepas 10 hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved