
DUBAI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menghantar pasukan penyelamat bagi membantu usaha bantuan banjir di Nepal, menurut Agensi Berita Emirates (WAM) pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut laporan itu, misi berkenaan disertai pakar dalam tindak balas bencana, pemindahan perubatan dan pertolongan cemas.
UAE sebelum ini menghantar dua pesawat membawa 128 tan bantuan kemanusiaan ke Nepal serta memperuntukkan US$10 juta bagi membantu mangsa yang terjejas.
Banjir melanda utara Nepal pada pagi 26 Ogos selepas aliran air yang deras dari wilayah China melimpah ke Sungai Bhote Koshi.
Banjir itu berpunca daripada runtuhan glasier besar yang disusuli tanah runtuh. Angka korban di negara itu kini melebihi 1,200 orang. – BERNAMA
The post UAE hantar pasukan penyelamat ke Nepal appeared first on Kosmo Digital.






