Dua pemandu maut dua kereta bertembung

23 Apr 2026 • 4:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua pemandu maut dua kereta bertembung
Image from: Dua pemandu maut dua kereta bertembung
Keadaan dua kereta remuk selepas terlibat kemalangan.

PAPAR - Dua lelaki termasuk seorang warga emas maut selepas kenderaan yang dipandu mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Bukit Kimanis-Keningau di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan pertembungan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, kedua-dua pemandu berusia 61 dan 35 tahun disahkan maut di lokasi.

“Mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk dibedah siasat.

“Hasil siasatan lanjut turut mendapati terdapat elemen ketidakpatuhan terhadap undang-undang jalan raya, termasuk pemandu Proton Saga tidak memiliki lesen memandu yang sah serta menggunakan kenderaan dengan cukai jalan yang telah tamat tempoh.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Polis Daerah Papar atau pegawai penyiasat trafik berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi.

Katanya, seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari BBP Kimanis.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Perodua Axia yang dipandu mangsa bersama seorang penumpang wanita berusia 52 tahun dan sebuah Proton Saga.

“Terdapat tiga mangsa terlibat, dengan dua lelaki tersepit di tempat duduk pemandu masing-masing. Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa, namun kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Penumpang wanita itu mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.