
TANGKAK - Dua pemuda maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah lori di kawasan kelapa sawit di Jalan Sagil-Jementah, pekan Sagil di sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Pegawai Bomba Kanan II Johairi Sameon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.02 pagi.
"Susulan itu seramai lapan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kejadian melibatkan kereta Perodua Myvi dinaiki dua lelaki yang sedang menuju ke arah Segamat manakala lori jenis Volvo pula dari arah Tangkak. Kedua-dua kenderaan itu bertembung.
"Kemalangan itu mengakibatkan pemandu Myvi, Mohd Hazim Abdul Halim, 25, dan penumpang, Muhamad Fikri Amaludin, 24, tersepit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di tempat kejadian.
Katanya, pemandu lori, Azuan Ithnin, 37, terselamat dan operasi selesai pada jam 7.57 pagi.
