
RANAU: Dua pendaki diselamatkan dalam dua kejadian berasingan pada Rabu selepas mereka mengalami komplikasi semasa mendaki Gunung Kinabalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian pertama membabitkan seorang lelaki yang mengalami demam melampau disebabkan hipotermia.
“Mosar (Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu) menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 pagi bahawa seorang pendaki dilaporkan mengalami demam melampau di Laban Rata.
“Pasukan PBB Mosar bersama kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim gunung melakukan pemeriksaan dan menurunkan mangsa menggunakan pengusung Robinson.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.50 petang,” katanya.
Sementara itu, Ridwan berkata, kejadian kedua melibatkan seorang wanita tempatan, 46, yang mengalami kecederaan di Kilometer 4.5.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 12.57 tengah hari menerusi talian stesen memaklumkan seorang pendaki dilaporkan cedera di pergelangan tangan ketika mendaki gunung itu.
“Mangsa juga diturunkan menggunakan pengusung Robinson.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan kenderaan Taman-Taman Sabah untuk rawatan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.53 petang,” katanya.
Tambah Ridwan, kes Rabu lepas menjadi kes ketiga dan keempat bagi Februari 2023 dan juga kes keenam penyakit atau kecederaan di Gunung Kinabalu tahun ini.
Pada Januari, dua pendaki mengalami pelbagai jenis kecederaan semasa mendaki Gunung Kinabalu.
Beliau mengulangi gesaan kepada bakal pendaki agar melakukan penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah.
Beliau turut menasihatkan pendaki supaya lebih berhati-hati dalam keadaan sekarang yang tidak menentu kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding ketika cuaca biasa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


