Dua pengarah syarikat barang sembahyang mengaku tidak bersalah gagal bayar cukai

LocalPolitics
13 Apr 2026 • 11:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di George Town pada Isnin kerana gagal membuat bayaran cukai.

GEORGE TOWN - Dua beranak yang juga pengarah di syarikat menjalankan perniagaan pembuatan dan pemasaran barangan sembahyang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 2 di sini di atas enam saman kerana gagal membuat bayaran cukai jualan pada Isnin.

Kesemua saman tersebut melibatkan 18 pertuduhan di antara tempoh 1 Mac 2021 hingga 31 Disember 2023.

V Moganadass, 45, dan ibunya, S Saroja Devi, 65, yang merupakan pengarah syarikat KVS Industries Sdn Bhd mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di dalam bahasa Melayu.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa gagal membuat bayaran cukai jualan mengikut tempoh yang ditetapkan yang melibatkan 18 tempoh bercukai dengan tunggakan keseluruhan cukai jualan dan penalti sebanyak RM 16,145.44.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya antara 1 Jun 2021 hingga 1 Februari 2024.

Oleh demikian, mereka didakwa di bawah seksyen 26(9) Akta Cukai Jualan 2018 kerana melanggar Seksyen 26(5) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia, D Karthy Gasedev manakala dua beranak berkenaan tidak diwakili peguam.

Hakim Irwan Suainbon kemudiannya menetapkan 18 Mei depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.