Dua pengkarya hebat pamer karya seni di Galeri Shah Alam

8 May 2025 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 8 Mei: Dua pengkarya hebat dalam dunia seni tanah air, Profesor Madya Hasnul Jamal Saidon dan Yang Mulia Raja Shahriman Raja Aziddin tampil di pameran ‘seNADI seNAFAS’ di Galeri Shah Alam.

Pengarah Yayasan Seni Selangor Galeri Shah Alam Badrul Kahar Mohd Yusof menyifatkan pameran ini sebagai satu penghormatan besar buat negeri Selangor.

“Raja Shahriman membawa karya logam yang memerlukan kekuatan fizikal dan kemahiran teknikal tinggi manakala Hasnul Jamal menampilkan karya bersifat metafora, spiritual dan alam semula jadi.

“Satu keras dan fizikal, satu lagi lembut dan spiritual. Ia saling melengkapi,” katanya pada hari pertama pameran Selasa lalu.

image is not available
Raja Shahriman Aziddin di Pameran beliau bertajuk “Senadi Senafas” di Galeri Shah Alam pada 5 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Tambah Badrul, pameran ini merupakan kolaborasi pertama mereka selepas lebih dua dekad bergelar anak seni dan bersahabat sejak zaman pengajian.

“Gabungan ini amat unik dan sangat jarang berlaku. Ramai pengunjung dan peminat seni telah lama menantikan detik ini,” katanya.

Pameran seNADI seNAFAS bermula sejak 5 Mei hingga 19 Jun depan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 5 petang secara percuma kepada orang ramai.

image is not available
Profesor Hasnul Jamal Saidon di Pameran beliau bertajuk “Senadi Senafas” di Galeri Shah Alam pada 5 Mei 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR