KUALA LUMPUR - Dua penunggang motosikal berkuasa tinggi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis, atas satu tuduhan melakukan aksi 'wheelie' di Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE), dua minggu lalu.
Kerani, Khairul Azham Mohd Noor, 36, dan mekanik, Nashril Rosli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Majistret, Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki berkenaan masing-masing sebagai penunggang motosikal jenis Ducati Hypermotard 950 dan Ducati Panigale didakwa melakukan aksi tersebut iaitu mengangkat tayar hadapan motosikal sejauh 80 meter dalam keadaan berbahaya.
Sedangka aksi itu berisiko tinggi dan mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, di kilometer 6.5 Lebuhraya SPE dari pusat bandar menghala ke Putrajaya, jam 11 pagi pada 9 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan Nashril diberi ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin sementara Khairul Azham, RM3,000.
Bagaimanapun, peguam, Akmal Taufiq dan Infa Rozana, masing-masing mewakili Khairul Azam dan Nashril merayu, anak guam mereka diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana perlu menyara keluarga.
Selepas mendengar permohonan semua pihak, Tg Syazwany Yasmyn membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Beliau menetapkan 8 dan 10 Julai depan bagi sebutan kes untuk Nashril dan Khairul Azam.
Pada 16 Mei lalu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas video aksi terbabit tular di media sosial.
