Dua petani ceroboh kawasan TTS dilepas dengan bon kelakuan baik

27 Jan 2023 • 4:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Dua petani yang memasuki kawasan Taman-Taman Sabah (TTS) di Kota Belud tanpa permit, dilepaskan dalam percubaan berkelakuan baik dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus membuat perintah itu terhadap Tingkun Penimbol, 53, dan Edwin Tumbai, 58, selepas mendapati mereka bersalah secara berasingan atas pertuduhan terhadap mereka pada Khamis.

Mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Tingkun dan Edwin, dan dengan itu disabitkan kesalahan mengikut pertuduhan masing-masing.

Tingkun disabitkan dengan kesalahan memasuki kawasan Taman Kinabalu berhampiran Kg Sayap, tanpa kebenaran bertulis daripada Lembaga Pengarah, atau Pengarah, atau mana-mana Pegawai Taman pada jam 11 pagi 27 Nov 2017.

Sementara itu, Edwin didapati bersalah memasuki kawasan hutan yang diwartakan sebagai kawasan TTS berhampiran Kg Lasau Mininsud, tanpa kebenaran bertulis daripada Lembaga Pengarah, atau Pengarah, atau mana-mana Pegawai Taman, antara jam 8 pagi dan 12.30 tengah hari pada Julai 2017.

Kedua-dua mereka didakwa secara berasingan mengikut Seksyen 48(1)(p) Enakmen Taman-Taman 1984 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 48(1)(2) Enakmen sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda sehingga RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perintah bon kelakuan baik itu bermula dari tarikh sabitan mereka pada Khamis dan bon masing-masing hendaklah dilaksanakan dengan dua penjamin tempatan dengan wang jaminan RM5,000 berdeposit RM2,500.

Dalam menjatuhkan hukuman itu, mahkamah menegaskan bahawa mahkamah telah mencapai keseimbangan sebanyak mungkin mungkin antara kepentingan awam dengan kepentingan tertuduh, dan percaya perintah sedemikian akan mewujudkan sikap positif dan memupuk persefahaman lebih mendalam pada pihak tertuduh mengenai tugas dan tanggungjawab Taman-Taman Sabah untuk melindungi alam sekitar dan warisan semula jadi untuk manfaat bukan sahaja kedua-dua tertuduh, tetapi juga semua orang yang tinggal di sekitar kawasan-kawasan itu.

Di bawah perintah itu, Tingkun dan Edwin hendaklah kekal di bawah pengawasan Taman-Taman Sabah untuk tempoh dua tahun dari tarikh perintah itu.

Syarat-syarat yang dikenakan kepada mereka berdua akan memastikan mereka mengamalkan kelakuan baik sepanjang tempoh bon ini. Jika mereka terus berkelakuan baik dalam tempoh ditetapkan, mereka tidak akan dipanggil semula ke Mahkamah dan akan dibebaskan sebaik sahaja tempoh bon tamat.

Jumlah RM2,500 yang didepositkan di Mahkamah juga akan dikembalikan kepada mereka.

Sekiranya berlaku sebarang pelanggaran bon kelakuan baik itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran untuk menangkap tertuduh. Setelah ditangkap mereka berdua akan dihadapkan ke mahkamah yang mendengar kesalahan asal mereka. Jika mahkamah menerima penjelasan atau jawapan mereka terhadap kelakuan mereka yang berkaitan dengan dakwaan pelanggaran bon itu, bon kelakuan baik yang dilaksanakan sebelum ini diteruskan. Jika pelanggaran jelas berlaku, bon kelakuan baik itu dibatalkan dan mahkamah boleh meneruskan untuk menjatuhkan hukuman yang difikirkan sesuai kepada pesalah.

Terdahulu, dalam keputusannya, Elsie berpuas hati bahawa Edwin dan Tingkun telah memasuki kawasan TTS tanpa kebenaran bertulis daripada Lembaga Pengarah, atau Pengarah, atau mana-mana Pegawai Taman yang diberi kuasa oleh Pengarah bagi pihaknya.

Mahkamah juga menyatakan sepanjang perbicaraan khususnya semasa peringkat pembelaan, cadangan telah dikemukakan dan diberi keterangan oleh saksi pihak pembelaan mengenai hak anak negeri, hak mereka untuk menyara hidup dan untuk kekal di tanah nenek moyang mereka.

Dia menambah, sebagai anak negeri juga, dia amat memahami pembelaan yang dikemukakan oleh Tingkun dan Edwin.

“Bagaimanapun, ini bukan forum yang sesuai untuk menentukan sama ada Tingkun dan Edwin mempunyai Hak Adat Anak Negeri (NCR) di kawasan TTS. Mereka harus mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur yang ditetapkan dalam Ordinan Tanah Sabah. Siasatan mengenai hak anak negeri mesti dijalankan.

“Melainkan dan sehingga terdapat dapatan mengikut Ordinan Tanah Sabah yang mengesahkan hak tersebut, pembelaan Edwin dan Tingkun bahawa mereka adalah anak negeri dan mempunyai hak ke atas kawasan tersebut, tidak mempunyai merit dalam dua kes ini.

“Tambahan pula, mahkamah ini tidak diberi kuasa di bawah undang-undang untuk menangani keperlembagaan Enakmen Taman-Taman Sabah dan mana-mana peruntukannya. Permohonan harus difailkan dan didengar oleh Mahkamah Tinggi seperti yang dinyatakan dalam Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” kata Elsie dalam keputusannya.

Semasa rayuan, peguam Ram Singh yang bersama-sama Kimberly Ye dan Chen Wen Jye mewakili Tingkun dan Edwin, meminta bon berkelakuan baik dikenakan ke atas anak guam mereka, dengan mengatakan kedua-duanya merupakan pesalah pertama.

Ram berkata, kedua-dua anak guamnya itu sudah berkahwin dan sepanjang masa material hidup di kampung serta mengamalkan NCR sejak dahulu lagi.

Dia memberitahu mahkamah bahawa dua tertuduh telah bercucuk tanam, hidup dan mengumpul hasil hutan untuk mata pencarian dan menampung keperluan keluarga mereka.

Ram selanjutnya berhujah bahawa penduduk kampung termasuk Tingkun dan Edwin pada setiap masa material, sejak dahulu lagi percaya bahawa tanah yang mereka usahakan adalah tanah nenek moyang dan diperoleh melalui “adat”.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mohammed Ali Imran, yang bersama-sama DPP Rustam Sanip, menjalankan pendakwaan dan dibantu pasukan Taman-Taman Sabah, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan.

Mohammed berkata ini bukan kes pencerobohan semata-mata kerana tertuduh mengaku mereka ada membakar hutan dan menebang pokok.

Dia berhujah bahawa kedua-dua tertuduh tidak boleh mengatakan mereka tidak tahu apa yang mereka lakukan itu salah kerana pihak berkuasa Taman-Taman Sabah sudah beberapa kali mengeluarkan amaran dan menawarkan kompaun kepada mereka, tetapi mereka enggan membayar dan ini jelas menunjukkan mereka tahu apa yang mereka lakukan itu adalah salah.

Mohammed seterusnya berkata hukuman berbentuk pencegahan mesti dipertimbangkan.

Dalam prosiding itu, penduduk kampung yang turut hadir untuk memberi sokongan kepada Tingkun dan Edwin, dibenarkan berada di dalam bilik pembicaraan.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.