
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berumur 46 tahun yang merogol anak perempuannya sejak usia lima tahun, dipenjara 41 tahun dan dikenakan 24 sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada lelaki itu yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu dipenjara 20 tahun dan dikenakan 11 sebatan kerana merogol remaja berusia 13 tahun itu pada pukul 4.30 pagi 7 Mei 2022 di sebuah rumah di Kudat.
Bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara 21 tahun lagi dan dikenakan 13 sebatan kerana merogol remaja sama pada jam 4.40 petang 9 Jun 2022 di rumah yang sama.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjaranya secara berturut-turut dari tarikh dia ditangkap, dan selepas hukuman itu selesai, dia diperintahkan untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama tiga tahun.
Kesalahan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara lapan dan 30 tahun, dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, lelaki yang tidak diwakili peguam itu meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia menyesali kesalahannya dan jika diberi peluang, dia bersedia menyumbang kepada keluarganya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas lelaki itu atas sebab tertuduh telah mengambil kesempatan seksual terhadap anak kandungnya yang masih di bawah umur, sejak usia lima tahun.
“Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai isteri sendiri untuk memuaskan nafsu seksualnya, namun dia masih tidak dapat mengawal nafsunya kerana merogol anak perempuannya sendiri untuk memuaskan nafsu tersebut. Kejadian rogol ini telah menghancurkan maruah serta masa depan mangsa.
“Pendek kata, jenayah yang tertuduh lakukan berulang kali terhadap mangsa, sememangnya jenayah kejam. Besar kemungkinan lelaki itu akan terus melakukan perbuatan kejinya terhadap mangsa jika dia tidak melaporkan kejadian itu kepada polis,” kata Tham.
Mahkamah mendengar kejadian itu terbongkar apabila mangsa pergi ke sesi kaunseling di sekolahnya.
Selepas sesi kaunseling itu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana tidak mahu bapanya merogolnya berulang kali.
Susulan laporan polis tersebut, lelaki itu ditahan dan siasatan mendapati dia melakukan rogol itu ketika isterinya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Kudat.
Siasatan juga mendapati lelaki itu telah merogol remaja itu ketika berusia lima tahun dan dia tidak memaklumkan kejadian itu kepada sesiapa kerana tidak tahu perbuatan itu salah.
Ketika kejadian baru-baru ini, mangsa cuba melawan lelaki itu tetapi tidak berupaya dan lelaki itu turut memberi amaran supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu.
Disebabkan kejadian rogol itu, mangsa menjadi takut dan trauma, hilang fokus semasa sesi pembelajaran, perwatakannya berubah daripada seorang yang periang kepada seorang yang pendiam.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

