
LUMUT: Gara-gara hutang, dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan saling menyebabkan kecederaan parah ketika kedua-duanya bergaduh di sebuah pusat hiburan hujung bulan lepas.
Ngoi Mei Hock, 37, dan rakannya Ling Boon Huat, 40, yang hadir ke mahkamah dengan tangan berbalut bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret T. Kavita.
Ngoi didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ling di sebuah bilik di pusat hiburan di Sitiawan di sini pada kira-kira pukul 10 malam, 30 Julai lepas.
Ling pula didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Ngoi di kafe pusat hiburan sama pada kira-kira pukul 12.04 tengah malam.
Pertuduhan ke atas kedua-dua duda itu dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Insp Norjihan Jaya menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 terhadap kedua-dua tertuduh namun peguam Kartini Mansor yang mewakili Ngoi dan peguam Koay Jing Qian yang mewakili Ling memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah ke atas anak guam mereka.
Kartini berkata anak guamnya yang merupakan seorang peniaga dan telah bercerai dengan isteri perlu menanggung dua anak kecil dan kedua-dua ibu bapanya selain memerlukan kos perubatan akibat kecederaan kepala, tangan dan badan akibat pergaduhan itu.
Koay berkata anak guamnya juga telah bercerai dan bekerja di kedai kopi dengan pendapatan rendah serta perlu menanggung anak lelaki berusia 15 tahun yang masih bersekolah dan bapa berusia 71 tahun.
Beliau berkata anak guamnya juga memerlukan rawatan lanjut kerana retak tulang tangan kanan akibat pergaduhan dengan rakannya itu yang berpunca daripada hutang.
Mahkamah membenarkan jaminan masing-masing RM4,500 kepada kedua-dua rakan itu selain menetapkan 19 Sept untuk sebutan semula kes bagi Ngoi manakala 21 Sept kes Ling bagi serahan laporan perubatan. - Bernama
