Dua rakan edar ‘piau piau’ diberkas polis

21 May 2026 • 4:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua rakan edar ‘piau piau’ diberkas polis
Vape yang disyaki mengandungai dadah jenis syabu atau 'piau piau'
Image from: Dua rakan edar ‘piau piau’ diberkas polis
Kenderaan dan wang tunai yang dirampas polis
Image from: Dua rakan edar ‘piau piau’ diberkas polis
Dadah sintetik termasuk cecair syabu vape atau dikenali sebagai ‘piau piau’ bernilai RM88,725.50 dirampas menerusi dua serbuan di Seberang Perai Utara pada Selasa

GEORGE TOWN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah sintetik termasuk cecair syabu vape atau dikenali sebagai ‘piau piau’ dengan rampasan bernilai RM88,725.50 menerusi dua serbuan di Seberang Perai Utara pada Selasa.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 6 petang itu, polis turut menahan seorang lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 42 tahun yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak Mac lalu.

Menurutnya, kedua-dua suspek merupakan rakan dan bekerja sebagai jurujual.

**media[3528329]**

"Serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir kenderaan sebelum polis menahan seorang lelaki yang kemudian membawa pasukan serbuan ke sebuah kediaman di kawasan sama.

"Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan membawa kepada penahanan seorang wanita serta penemuan pelbagai jenis dadah sintetik dan peralatan berkaitan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azizee menambah, antara yang dirampas ialah 123 kartrij disyaki mengandungi cecair syabu seberat 1,348.36 gram, 11 paket plastik berisi serbuk disyaki methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 396 gram, tiga paket plastik lutsinar mengandungi ketamin seberat 2.55 gram dan 70 biji pil Erimin 5 seberat 21.37 gram.

"Polis turut merampas lima alat peranti elektronik dipercayai digunakan dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

"Sindiket terbabit dipercayai aktif mengedar dadah sintetik jenis vape yang semakin mendapat perhatian pihak berkuasa kerana penyalahgunaannya yang semakin membimbangkan," ujarnya.

**media[3528330]**

Beliau menambah, hasil risikan mendapati sindiket tersebut aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak Mac lalu dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan boleh digunakan sebanyak 300 kali penggunaan.

"Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kita juga telah menyita dua kenderaan iaitu sebuah Toyota Altis dan Toyota Estima masing-masing bernilai RM55,000 selain wang tunai RM1,069. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan RM199,794.50," katanya lagi.

Menurut Azizee, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bermula 20 hingga 26 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali," ujarnya.

Dalam pada iitu, Azizee berkata, sehingga Mei tahun ini, polis telah membuka 115 kes berkaitan vape mengandungi dadah melibatkan 207 tangkapan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

“Kita memandang serius aktiviti penjualan dan pengedaran dadah jenis vape ini serta menjalankan pemantauan secara berterusan bagi membendung penularannya.

"JSJN Pulau Pinang juga menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Farmasi Pulau Pinang dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah menggunakan kaedah vape," katanya.

INFO 'PIAU PIAU'

“Piau piau” ialah istilah jalanan yang digunakan bagi merujuk kepada cecair vape yang dicampur dadah sintetik seperti syabu atau methamphetamine. Ia biasanya dimasukkan ke dalam kartrij vape bagi membolehkan pengguna menyedut dadah itu melalui rokok elektronik.

Trend ini semakin membimbangkan kerana bentuknya sukar dikesan dan kelihatan seperti vape biasa. Polis di Malaysia turut mengesan beberapa sindiket yang memproses serta mengedar cecair vape mengandungi syabu untuk pasaran tempatan.  

Antara ciri yang sering dikaitkan dengan “piau piau” ialah:

* Cecair vape berwarna jernih atau sedikit kekuningan

* Dijual dalam kartrij atau pod vape biasa

* Ada yang dicampur perisa buah-buahan bagi mengaburi kandungan sebenar

* Digunakan kerana kesan khayal lebih cepat melalui sedutan wap

Menurut laporan polis, terdapat rampasan ratusan kartrij vape yang dipercayai mengandungi cecair syabu di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Selangor.  

Penggunaan cecair vape bercampur dadah ini boleh memberi kesan serius seperti:

* Halusinasi dan tingkah laku agresif

* Ketagihan yang cepat

* Gangguan jantung dan otak

* Risiko sawan atau kehilangan kesedaran

* Kerosakan mental dalam jangka panjang

Pihak berkuasa juga bimbang trend ini menarik minat remaja kerana rupa dan bau vape tersebut sukar dibezakan daripada vape biasa. Ada kes melibatkan cecair vape yang mengandungi bahan terlarang lain seperti THC dan heroin