Polis Sabah tumpas sindiket edar dadah bernilai RM3.25 juta

20 May 2026 • 12:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis Sabah tumpas sindiket edar dadah bernilai RM3.25 juta
Jauteh (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas Polis Sabah.

KOTA KINABALU – Polis Sabah berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah membabitkan nilai lebih RM3.25 juta dalam beberapa siri serbuan dan tangkapan di empat daerah berasingan.

Dalam serbuan tersebut, lebih 63 kilogram (kg) syabu, 31 kg cecair tetrahydrocannabinol (THC), 4.49 gram ganja dan sekilogram serbuk ekstasi berjaya dirampas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes pertama berlaku pada 3 Mei lalu melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun di Taman Heng Long, Jalan Seri Melor Tinagayan, Semporna.

Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemukan 15 kotak mengandungi pelbagai jenis vape dan cecair disyaki mengandungi dadah jenis THC.

“Rampasan melibatkan 10,000 kartrij pelbagai jenis vape dianggarkan seberat 20 kg bersama dua botol gelen berwarna biru mengandungi cecair disyaki THC seberat 11 kg.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 31 kilogram dengan nilai sekitar RM93,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Rabu.

Katanya lagi, hasil siasatan lanjut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah turut melakukan beberapa siri serbuan susulan di Kota Kinabalu dan Tawau.

Katanya, tiga lagi individu terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 38 hingga 52 tahun berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Semua suspek dipercayai terlibat dalam urusan transaksi dan penghantaran kotak-kotak mengandungi vape serta cecair THC tersebut dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua, Jauteh memaklumkan beberapa siri serbuan melibatkan sindiket pengedaran syabu dan serbuk ekstasi.

Katanya, seramai enam individu ditahan di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang bermula 11 Mei lalu.

“Operasi pertama dijalankan kira-kira jam 7 malam di kawasan parkir Plaza 88 Kepayan apabila dua lelaki ditahan di dalam sebuah kereta Perodua Bezza.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua bungkusan disyaki syabu seberat dua kilogram sebelum soal siasat lanjut membawa kepada penemuan 50 bungkusan lagi dadah disyaki syabu seberat 50.95 kilogram di sebuah bilik sewa di Plaza Grand Millennium, Penampang.

“Serbuan ketiga pula dilakukan di sebuah bilik sewa di Asas Home New World, Penampang dan berjaya menemukan 10 kilogram lagi syabu serta dua paket serbuk ekstasi.

“Polis kemudian menahan beberapa lagi individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan dengan ketua sindiket yang masih diburu pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, polis turut menahan seorang lelaki dipercayai pembantu kepada ketua sindiket ketika cuba melarikan diri ke Lawas, Sarawak melalui Pos CIQ Sindumin.

“Rampasan dalam kes ini melibatkan 63.18 kg keseluruhan dadah jenis syabu, serbuk ekstasi dan ketamin yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3.16 juta.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya.

Sehubungan itu, Jauteh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Sebarang aktiviti memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang. JSJN akan terus komited memerangi ancaman dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Orang ramai juga disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah menerusi talian hotline JSJN di 012-208 7222,” katanya.