
PAPAR: Usaha membantu pemandu lori menukar tayar pancit bertukar tragedi selepas sebuah kereta hilang kawalan, mengakibatkan dua maut di KM 9, Lebuhraya Pan Borneo, berhampiran Nagapas, di sini, Sabtu.
Kira-kira jam 2 petang, seorang pemandu lori berusia 26 tahun berhenti di tepi jalan untuk membantu rakannya yang berusia 62 tahun selepas lori lelaki tu mengalami masalah tayar pancit.
Ketika mereka sedang menjalankan kerja penukaran tayar bersama-sama, mereka dirempuh oleh sebuah kenderaan yang hilang kawalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, berkata siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 62 tahun itu memberhentikan lorinya di bahu kiri jalan selepas menyedari salah satu tayarnya pancit sebelum dibantu oleh seorang lagi pemandu lori yang kebetulan berhenti.
“Tiba-tiba, kedua-dua pemandu yang berada di bahagian kanan lori dirempuh oleh sebuah Proton Saga yang hilang kawalan, yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju ke Kimanis, sebelum kenderaan itu terbalik di bahu kiri jalan.
“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua pemandu lori disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Papar di lokasi kejadian,” katanya.
Kamaruddin berkata, pemandu dan penumpang kereta sedan berkenaan dibawa ke hospital daerah selepas mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.




