
SHAH ALAM, 10 NOV: Dua daripada tiga rakyat Malaysia yang ditahan bersama 76.14 kilogram (kg) ganja di Mauritius pada 2 November lalu disahkan suami isteri dan ditawarkan upah RM1,000 bagi setiap bagasi dadah yang dibawa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata pasangan berusia 22 dan 18 tahun dari Pulau Pinang itu direkrut menerusi aplikasi RedNote sebelum dihubungi individu terbabit melalui Telegram, lapor Berita Harian.
"Mereka ditawarkan bayaran RM1,000 bagi setiap bagasi. Pasangan itu bersetuju membawa empat bagasi, masing-masing dua, dengan tiket penerbangan dan penginapan hotel ditanggung sepenuhnya oleh individu berkenaan.
“Mereka diarahkan ke Bangkok, Thailand, untuk mengambil bagasi itu sebelum meneruskan perjalanan ke Mauritius melalui Dubai,” katanya.
Hussein berkata kedua-duanya turut diminta memuat turun aplikasi Life360 bagi membolehkan pergerakan dipantau serta menyerahkan salinan pasport menerusi Telegram.
Mengulas lanjut, jelasnya, pasangan itu tiba di Mauritius atas tujuan percutian dan dijadualkan menginap selama lima hari di Domaine de Grand Baie Hotel.
“Siasatan mendapati perbualan dalam kumpulan Telegram dipadamkan, manakala individu dipercayai ketua sindiket meninggalkan kumpulan selepas ketiga-tiga rakyat Malaysia itu ditahan,” katanya.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima maklumat daripada pihak berkuasa Mauritius mengenai penahanan tiga rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) pada 2 November lalu.
Ketiga-tiganya ditahan kira-kira jam 2.35 petang sejurus tiba dari Dubai menaiki penerbangan Emirates EK709 dalam operasi Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) dengan kerjasama Kastam Mauritius.
"Pemeriksaan terhadap bagasi pasangan itu menemukan 60 paket plastik berisi bahan disyaki ganja dengan anggaran berat kasar 65kg. Turut ditemukan peranti pengesan Apple dalam setiap bagasi yang dibawa seorang daripada suspek," katanya.
Seorang lagi suspek, lelaki berusia 30 tahun dari Sabah yang bekerja di Singapura, pula ditahan bersama 10 paket plastik mengandungi bahan tumbuhan disyaki ganja.
Hussein berkata lelaki itu dipercayai direkrut selepas melihat iklan pekerjaan di Singapura menerusi Facebook sebelum dihubungi individu lain melalui Telegram.
Semakan mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Menurutnya, JSJN akan meneruskan kerjasama risikan dengan pihak berkuasa Mauritius bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tangkapan dan rampasan, selain mengenal pasti kemungkinan penglibatan rangkaian sindiket yang mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan pada 4 November lalu mengesahkan penahanan tiga rakyat Malaysia selepas 70 bungkusan plastik kedap udara mengandungi 76.14kg dadah disyaki ganja ditemukan dalam bagasi mereka.
Rampasan itu dianggarkan bernilai 114.21 juta Rupee Mauritius (kira-kira RM9.87 juta) mengikut harga pasaran negara berkenaan.






