
KUALA LUMPUR – Seorang wanita antara tiga rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Mauritius di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam (SSRIA) di negara itu dipercayai membawa lebih 70 kilogram ganja.
Pihak berkuasa lapangan terbang merampas 70 bungkusan mengandungi 76.14 kilogram (kg) bahan disyaki ganja bernilai kira-kira RM9.87 juta dalam bagasi mereka yang ketika itu baru tiba dari Dubai.
Pihak Berkuasa Hasil Mauritius (MRA) dalam kenyataan pada Rabu lalu memaklumkan, tiga suspek terbabit terdiri daripada dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun serta seorang wanita berusia 18 tahun dengan ketiga-tiganya tiba di SSRIA menaiki penerbangan Emirates EK709.
Menurut MRA, pemeriksaan dilakukan oleh Seksyen Antinarkotik Kastam (CANS) selepas ketiga-tiga penumpang dikenal pasti untuk pemeriksaan lanjut.
“Susulan pemeriksaan profil penumpang dan sesi soal jawab, pegawai CANS memeriksa bagasi daftar masuk mereka.
“Pemeriksaan menemukan 70 bungkusan plastik hitam berbentuk segi empat tepat yang dibungkus secara vakum, mengandungi bahan tumbuhan hijau disyaki ganja,” katanya.
Menurut MRA, rampasan dadah berkenaan dianggarkan bernilai 114.21 juta rupee Mauritius (kira-kira RM9.87 juta) mengikut harga pasaran di negara itu.
“Kesemua bungkusan berkenaan dirampas, dengan siasatan lanjut dijalankan oleh Unit Antidadah dan Antipenyeludupan (ADSU) Mauritius,” katanya.
Sementara itu, media Mauritius melaporkan, siasatan awal menunjukkan, dadah berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan Thailand, dengan seorang daripada suspek dipercayai melalui negara itu sebelum meneruskan penerbangan ke Dubai dan Mauritius.
Lelaki berusia 30 tahun yang dilaporkan menetap dan bekerja sebagai pegawai keselamatan di Singapura itu membawa kira-kira 10.9kg ganja.
Dua lagi suspek, iaitu lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 18 tahun yang dilaporkan tinggal bersama di Pulau Pinang, masing-masing membawa 32.5kg dan 32.6kg dadah terbabit.
Untuk rekod, modus operandi sama dikesan dalam tangkapan membabitkan seorang tukang masak rakyat Malaysia yang ditahan di SSRIA pada 23 Oktober lalu bersama 17.8kg ganja dalam bagasinya.
Lelaki berusia 55 tahun itu turut tiba dari Dubai menaiki penerbangan Emirates EK709, sama seperti tiga suspek yang ditahan pada 2 November lalu.
The post Seludup dadah 76kg ke Mauritius, 3 rakyat Malaysia ditahan appeared first on Kosmo Online.






