
KUANTAN: Enam lelaki tempatan berusia antara 17 tahun hingga 18 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kejadian menyerang dua remaja menggunakan kayu dan besi di Jalan Air Putih, di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada 10 Ogos lalu sebelum pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4.30 petang hari sama.
“Dua mangsa masing-masing berusia 17 tahun dan 19 tahun diserang sekumpulan lelaki berhampiran sebuah premis perniagaan di Jalan Air Putih. Dalam kejadian itu, sebuah Toyota Vios yang dinaiki salah seorang mangsa turut dirosakkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, mangsa berusia 17 tahun mengalami kecederaan di belakang kepala, lengan kiri, belakang badan dan bahu kanan selain sakit pada lutut kiri.
Katanya, mangsa berusia 19 tahun pula mengalami patah tangan kanan dan luka di dahi sehingga memerlukan pembedahan.
“Susulan siasatan, polis menahan seorang lelaki kira-kira pukul 2 petang, 11 Ogos lalu di Lorong Alor Akar 64, di sini. Lima lagi lelaki ditahan kira-kira pukul 6 petang hari sama di kawasan berhampiran gelanggang bola keranjang, Jalan Bukit Setongkol Baru 6,” katanya.
Ashari berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada ugutan oleh seorang daripada individu berkenaan untuk membakar sebuah kelab sukan.
“Semua suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata,” katanya. – UTUSAN
The post Dua remaja cedera diserang, enam lelaki ditahan appeared first on Utusan Malaysia.






