
PASIR MAS - Seorang guru lelaki berusia 54 tahun ditahan selepas dipercayai memukul seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sebelum menampar ibu pelajar berkenaan dalam dua kejadian berasingan di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, berkata suspek ditahan pada Rabu selepas polis menerima laporan daripada wanita berusia 42 tahun itu pada hari sama.
Beliau berkata kejadian membabitkan pelajar berkenaan berlaku di sebuah sekolah menengah, Selasa lalu.
“Pada keesokan harinya, wanita itu pergi berjumpa guru berkenaan untuk membincangkan kejadian terbabit, namun guru itu didakwa menamparnya ketika pertemuan berkenaan.
“Suspek ditahan selepas polis menerima laporan dan direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Mazlan berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau cara berbahaya. - Getaran, 13 Ogos 2026






