Dua remaja termasuk OKU maut motosikal bertembung

LocalCars
25 Jul 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua remaja termasuk OKU maut motosikal bertembung
Dua remaja maut selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai bertembung dalam kemalangan di Jalan Felda Cherul menghala ke Bukit Sagu pada Jumaat.

CHUKAI -  Dua remaja termasuk seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggang mereka dipercayai bertembung dalam kemalangan di Jalan Felda Cherul menghala ke Bukit Sagu di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, dalam kejadian pada 6.45 petang itu, Muhammad Shafiq Hakimi Mohd Nazri dan Muhammad Hafiey Rifqey Mohd Mahazan kedua-duanya berusia 16 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Beliau berkata, Muhammad Shafiq Hakimi merupakan pelajar Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Cherul yang mengalami masalah pembelajaran, manakala Muhammad Hafiey Rifqey ialah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherul di sini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di satu laluan lurus ketika Muhammad Shafiq Hakimi dalam perjalanan dari Felda Cherul menghala ke Bukit Sagu manakala motosikal ditunggang Muhammad Hafiey Rifqey datang dari arah bertentangan.

"Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang Muhammad Hafiey Rifqey dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum kedua-dua motosikal bertembung," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya hingga menyebabkan kematian,” katanya. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved